KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan diberkas secara berasingan di Selangor dan Pulau Pinang selepas memuat naik hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.(JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek pertama iaitu pengendali Facebook, Nekad Hikers Ventures berusia lingkungan 51 tahun, ditahan sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.
Suspek kedua, pengendali Facebook Jgad Zruu yang berusia 27 tahun diberkas sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif. -KOSMO! ONLINE.