PETALING JAYA – Kajian Celik Kewangan Malaysia RinggitPlus 2023 (RMFLS) baru-baru ini mendapati 55 peratus daripada responden mengakui berbelanja sama banyak atau lebih daripada gaji yang mereka perolehi setiap bulan.
Perkara itu menyebabkan kebanyakan mereka tidak mampu untuk membuat simpanan bagi kegunaan ketika kecemasan.
“Hasil kajian tersebut juga mendapati 71 peratus responden hanya dapat menyimpan kurang daripada RM500 setiap bulan, manakala 67 peratus memaklumkan simpanan kecemasan mereka hanya boleh bertahan selama tiga bulan atau kurang.
“Walaupun Malaysia turut berdepan dengan masalah global, hasil tinjauan mendapati rakyat Malaysia mampu bertahan dalam krisis kewangan pada masa ini,” katanya.
Menurut kajian itu lagi, didapati 93 peratus responden yang mengambil langkah proaktif untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka tahun ini.
“Bagi memperbaiki keadaan kewangan, antara tiga tindakan adalah mengurangkan aktiviti-aktiviti masa lapang yang melibatkan penggunaan duit, kurang makan di luar dan rajin menyemak perbelanjaan peribadi.
“Selain itu, salah satu penemuan utama daripada kaji selidik itu ialah 94 peratus responden melaporkan mungkin menjadi mangsa scammer tahun ini yang menyebabkan mereka mahu lebih celik mengenai kewangan digital,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE