KOTA TINGGI – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah lori rosak yang diparkir di bahu jalan di kilometer 47.5 Jalan Johor Bahru-Mersing awal pagi hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Saberan Basseri, 74, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata pihak polis menerima maklumat kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan hutan Panti Kota Tinggi itu kira-kira pukul 4.30 pagi.
“Kemalangan melibatkan lori treler jenis Hino dengan sebuah motosikal dipercayai berlaku ketika mangsa berseorangan menunggang motosikal menghala ke tempat kerja di Johor Bahru telah hilang kawalan dan melanggar lori tersebut yang diletakkan dibahu kiri jalan hala yang sama.
“Perlanggaran melibatkan bahagian besi belakang sebelah kanan lori tersebut. Siasatan mendapati treler berkenaan diletakkan dibahu jalan selepas mengalami kerosakan sejak pukul 10 malam Khamis.
“Dalam kemalangan ini, mangsa penunggang motosikal lelaki Melayu berumur 74 tahun mengalami cedera parah dibahagian kepala dan meninggal dunia ditempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar. – KOSMO! ONLINE