fbpx

Suami isteri jual bayi, tutup malu lahirkan anak lepas sebulan kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MACHANG – Sepasang suami isteri tergamak menjual bayi perempuan mereka kepada pasangan lain untuk menutup malu daripada diketahui keluarga kerana melahirkan anak selepas hanya sebulan mereka berkahwin.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, perbuatan tersebut terbongkar selepas sepasang suami isteri berusia 40 dan 43 tahun yang membeli anak berkenaan daripada orang tengah membuat laporan palsu kira-kira pukul 5.48 petang, Selasa lalu kononnya menemui bayi berusia 14 hari itu.

Menurutnya, menerusi laporan itu, pasangan terbabit mendakwa mereka menemui sebuah beg bersama sehelai nota tulisan tangan tercatat pengakuan penyerahan anak secara sukarela tanpa nama penulis.

“Selain itu, mereka mendakwa terdapat salinan borang kelahiran bayi itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu yang tidak lengkap di dalam beg tersebut.

“Siasatan mendapati, laporan awal yang dibuat oleh suami isteri itu adalah palsu apabila mereka mendapatkan bayi tersebut daripada orang tengah dengan sejumlah bayaran,” katanya.

Mohd. Adli memberitahu, hasil siasatan lanjut kemudiannya berjaya mengenal pasti dan menahan ibu bapa bayi tersebut berusia 24 dan 26 tahun kelmarin.

Menurutnya, semakan mendapati bayi tersebut dilahirkan di HSNZ pada 5 Oktober lalu.

“Disebabkan malu dan takut diketahui keluarga kerana melahirkan anak dalam tempoh sebulan selepas berkahwin, ibu bapa bayi tersebut telah menyerahkan darah daging mereka sendiri kepada sepasang suami isteri atau pihak kedua untuk dijaga.

“Polis turut menahan seorang lelaki yang berusia 43 tahun dipercayai orang tengah dalam urusan jual beli bayi itu. Rakannya yang masih bebas masih dikesan,” ujarnya.

Menurut Mohd. Adli, kelima-lima suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama empat hari bermula kelmarin hingga esok.

Katanya, permohonan melanjutkan tahanan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI