PETALING JAYA – Satu rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak Palestin sedang minum susu dari puting seekor lembu bagi menghilangkan dahaganya mengundang rasa sedih golongan ibu.
Video sedih itu dikongsi seorang pengguna laman sosial yang menggunakan nama @madame.gebugebas di aplikasi TikTok.
Menerusi perkongsian itu, kanak-kanak polos tersebut gigih memicit satu persatu puting lembu untuk mencari puting yang bersusu.
“Semoga hilang dahaga dan kenyang perutmu wahai anak,” tulis sumber di dalam video.
Dilihat juga tindakan kanak-kanak tersebut menepuk-nepuk tangannya ketika meneguk susu lembu menerima reaksi daripada kalangan ibu di laman sosial.
“Cara dia tepuk tangan tu seolah-olah cara anak menepuk ibu bermain ketika menyusu. Ibu-ibu yang menyusukan anak saja faham perasaan anak ketika menyusukan badan,” luah inaalias.shop.
Selain itu, kebanyakan ibu-ibu juga kelihatan ‘sedar’ selepas melihat rakam video klip ini.
“Gembiranya dia dapat minum susu daripada lembu. Saya pula asyik nak marah-marah saja bila anak sendiri mahu susu. Terima kasih sedarkan saya,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Sedihnya. Sebagai ibu yang menyusu, kenapalah saya selalu merungut penat menyusu. Bila tengok ni, syukurnya anak dapat susu daripada ibu sendiri sedangkan anak ini menyusu dari lembu,” luah Auwzain sebak.
Seorang lain pengguna turut berkata, lembu tersebut turut kelihatan tenang seolah-olah memberi ‘izin’ untuk anak itu menyusu.
Hantaran tersebut telah menerima 241,300 tanda suka di aplikasi tersebut. – KOSMO! ONLINE