fbpx

Seludup dadah ke Australia: Polis kenal pasti individu terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Kamarudin berucap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

KAJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya sedang mengenal pasti beberapa individu dalam negara dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah jenis methamphetamine ke Melbourne, Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, identiti individu tersebut tidak dapat didedahkan pada masa ini ekoran siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan telah diseludup dari kawasan segi tiga emas, sebelum dibungkus semula di negara ini dan dihantar ke Australia.

“Pihak polis telah memperoleh maklumat daripada pihak berkuasa Australia berhubung kes ini.

“Kita sedang jalankan siasatan bagi mengenal pasti sindiket dadah yang menyeludup dadah tersebut ke sana.

“Perkara ini masih dalam tindakan lanjut daripada pihak PDRM,” katanya selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

12 Oktober lalu, media antarabangsa melaporkan Polis Persekutuan Australia (AFP) menahan empat lelaki selepas 662 kilogram methamphetamine ditemukan disembunyi dalam bungkusan gulungan tisu tandas.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau, dengan setiap satu seberat satu kilogram yang disembunyikan dalam palet kertas tandas.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan hampir AU$560 juta (RM1.7 billion).

Ekoran penemuan itu, dua warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia, 34, dan warga Hong Kong, 32, ditahan Rabu lalu.

Kesemua lelaki itu didakwa memiliki kuantiti komersial dadah terkawal yang membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup.

Susulan laporan tersebut, PDRM dilaporkan akan bekerjasama dengan AFP berhubung penglibatan lelaki Malaysia yang ditangkap bersama dadah di Melbourne itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI