SKUAD Selangor FC akan mengharungi beberapa aksi persahabatan November depan bagi mengelak barisan pemain ‘berkarat’ selepas dijangka genap dua bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.
Kali terakhir skuad Gergasi Merah bermain dalam saingan Liga Super adalah ketika menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 4-0 pada 29 September lepas.
Seterusnya, pasukan kendalian Tan Cheng Hoe hanya akan membuat kemunculan semula pada baki saingan liga musim ini bertemu Perak FC pada 25 November nanti.
Pemain pertahanan Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar mengesahkan barisan kejurulatihan sudah mengatur beberapa aksi persahabatan bagi memastikan pasukan dapat kekal cergas dalam baki 30 hari nanti.
“Setakat ini, berdasarkan perancangan barisan jurulatih, kami akan menghadapi perlawanan persahabatan untuk mengekalkan kecergasan bagi menentang Perak FC pada bulan November nanti.
“Kami juga baru kembali bersama pasukan selepas tugasan kebangsaan awal minggu ini, saya nampak pasukan masih berada dalam keadaan baik.
“Pasukan masih bersaing secara sihat di sini dan kita perlu fokus dalam tiga perlawanan terakhir untuk mengekalkan kedudukan tempat kedua pada Liga Super 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pertahanan berusia 24 tahun itu turut berharap dapat dipanggil menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya meskipun gagal membantu pasukan menjuarai Pestabola Merdeka baru-baru ini.
“Saya gembira dapat panggilan kali ini, walaupun kami kalah dalam final Pestabola Merdeka kali ini, kita dapat pelajari kekurangan serta kebolehan yang ada.
“Saya harap ada lagi peluang untuk menyertai panggilan kebangsaan selepas ini,” katanya.