fbpx

Sabah percaya lolos ke peringkat kalah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada aksi antara wakil Vietnam, Hai Phong FC menentang Sabah FC pada aksi Piala AFC di Stadium The Lach Tray, Vietnam kelmarin. – SABAH FC

HARAPAN skuad Sabah FC untuk meletakkan sebelah kaki ke pusingan kalah mati saingan ­Piala AFC lebih awal tidak kesampaian selepas tewas tipis 2-3 kepada wakil Vietnam, Hai Phong FC kelmarin.

Pengendali skuad The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee mengakui kelekaan benteng pertahanan melepaskan dua gol dalam tempoh 20 minit pertama menjadi punca pasukan terpaksa akur pulang tangan kosong.

Kata Kim Swee, permulaan yang buruk telah menjejaskan motivasi pasukan dalam usaha mencuri mata berharga tetapi kekalahan tersebut tidak bermakna peluang untuk pasukan lolos ke pusingan seterusnya tertutup.

“Harus diakui kita telah me­mulakan saingan dengan tidak begitu positif apabila melepaskan dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan. Situasi tersebut merencatkan strategi pasukan selain menaikkan semangat lawan.

“Kita tahu Hai Phong perlukan kemenangan untuk terus menghidupkan peluang dalam saingan kali ini dan peluang kita juga masih lagi terbuka untuk lolos ke pe­ringkat seterusnya.

“Pujian wajar diberikan kepada pemain kerana mempamerkan karakter dan bukan mudah untuk bersaing apabila ketinggalan 0-2 dan nasib tidak menyebelahi pasukan dalam usaha meraih keputusan seri,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, pengendali kelab Vietnam itu, Chu Din ­Nghiem mengakui puas dapat meraih tiga mata berharga selain menutup mulut pasukan Sabah yang dilihat memandang rendah anak-anak buahnya.

“Pasukan Sabah pandang rendah dan tidak hormat kepada kami. Kini, mereka layak untuk kalah tetapi pujian harus diberikan kepada barisan pemain yang bekerja keras sehingga wisel penamat ditiupkan,” katanya.

Pada kempen Piala AFC kali ini, dua kelab terbaik kumpulan H dan G akan layak ke peringkat kalah mati dan bersaing pada aksi separuh akhir zon Asia Tenggara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI