ROMPIN – Seorang pengawal keselamatan yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 23 Jalan Ibam-Rompin di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu berlaku ketika mangsa, Zainalabidin Ahmad, 51, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Sepayang di sini ke tempat kerja di Ulu Keratong.
“Apabila sampai di tempat kejadian kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Akibat kejadian mangsa cedera di bahagian leher dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangs dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan kering serta cuaca baik. – KOSMO! ONLINE