JAKARTA – Seorang lelaki nekad mencuri sebuah motosikal milik anak majikannya di Daerah Helvetia, Medan pada Rabu lalu, lapor portal berita Prohaba.
Laporan polis kemudian dibuat ke atas lelaki berusia 25 tahun itu kerana mencuri motosikal dan apa yang menyedihkan ialah suspek telah bekerja di bengkel milik anak majikan tersebut kira-kira sebulan lamanya.
“Kira-kira sebulan lalu, dia (pemuda itu) datang ke bengkel bapa saya meminta pekerjaan. Disebabkan kasihan, bapa saya memberinya pekerjaan dengan membantunya di bengkel besi,” kata pemilik motosikal tersebut yang dikenali sebagai Wina.
Dia berkata, sebelum kejadian, lelaki itu tidur di garaj dan bukan di ruang tamu seperti sebelumnya.
Wina juga menyatakan ketika jam 1 pagi (waktu tempatan) iaitu sebelum motosikalnya dicuri, pemuda itu masih membuka pintu ketika orang tuanya kembali ke rumah.
Namun keesokan harinya, Wina mendapati motosikalnya dan pemuda tersebut sudah tidak ada lagi di rumahnya.
Wina pun melihat sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sekitar rumahnya dan mendapati pemuda berkenaan melarikan motosikal jenis Honda Scoopy sekitar jam 3 pagi (waktu tempatan).
Dia pun melaporkan kejadian tersebut kepada polis dan berharap pemuda tersebut dapat ditangkap oleh pihak berkuasa. – AGENSI