MELAKA – Seorang pelayan bar diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam lapan kes pecah masuk kedai makan sehingga mengakibatkan kerugian mencecah RM10,000 sejak September lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.45 pagi di kawasan Kota Laksamana, kelmarin.
Ujarnya, tangkapan itu dibuat hasil siasatan polis berhubung kekerapan kejadian pecah kedai yang dilaporkan berlaku di lokasi berkenaan.
“Kes ini menunjukkan modus operandi yang sama iaitu suspek melakukan kegiatan antara pukul 2 hingga 5 pagi dengan cara memecah tingkap atau mengumpil pintu belakang.
“Hasil risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah telah menahan suspek, sekali gus berjaya menyelesaikan lapan laporan kes pecah kedai yang diterima sejak awal September lalu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, jumlah kerugian yang dilaporkan pemilik premis mencecah RM10,000.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau jenayah melibatkan kes curi motosikal dan dadah.
“Dia kini telah ditahan reman sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.