PETALING JAYA – Impian kontinjen negara mencapai sasaran 35 pingat keseluruhan tanpa mengira warna berjaya direalisasikan pada saingan hari kelima temasya Sukan Para Asia Hangzhou di China.
Kejayaan itu berjaya disumbangkan pemain badminton para negara, Mohd. Amin Burhanuddin yang meraih pingat perak selepas tewas 1-2 kepada Suhas Lalinakere Yathiraj dari India pada final kategori SL4 di Gimnasium Binjiang hari ini.
Turut menyumbang pingat buat negara hari ini ialah juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou yang meraih perak selepas tewas 1-2 kepada seteru tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi pada final kategori SU5.
Selain itu, skuad berbasikal para negara turut menyumbang satu pingat perak menerusi Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam acara lebuh raya C1-3 dan gangsa melalui Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais dan Nurul Suhada Zainal selaku pilot lebuh raya wanita. – KOSMO! ONLINE