PETALING JAYA – Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) berkuatkuasa 9 Oktober lalu.
Menerusi satu kenyataan, UM berkata lantikan Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil itu kerana beliau merupakan antara pendokong industri pengucapan awam negara.
Buktinya kata UM, Pak Nil telah terpilih untuk berkolaborasi bersama Kementerian Pendidikan melahirkan murid-murid sekolah berketrampilan kelas pertama, selaras dengan aspirasi program Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21).
“Dengan kepercayaan itu juga, Kementerian Ekonomi turut memilih Datuk Aznil Hj Nawawi sebagai Mentor Pengucapan Awam untuk sebuah program khusus pembangunan usahawan.
“Dengan pelantikan berprestij ini pastinya akan memperkasakan kemahiran pengucapan awam di kalangan warga kampus khususnya mahasiswa dari pelbagai cabang bidang pengkhususan,”ujarnya.
Justeru, UM yakin dengan dokongan Pak Nil itu diharap dapat membantu universiti itu mencapai hasrat melahirkan graduannya yang lebih berani, bijak berkomunikasi, berkarisma dan versatile dalam mendepani cabaran dunia masa hadapan yang semakin sukar diramalkan.-KOSMO! ONLINE