“YANG bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”.
Itu merupakan perumpamaan paling sesuai menggambarkan nasib seorang wanita cekal, Norazlina Zakaria yang kini menjadi seorang usahawan wanita berstatus orang kelainan upaya (OKU).
Kisah menyayat hatinya bermula apabila dia terlibat dalam kemalangan pada Mei 2006 sehingga menyebabkannya lumpuh separuh badan selama tujuh tahun.
“Ketika saya menjadi OKU, kehidupan saya berubah 360 darjah. Saya alami beberapa episod jatuh bangun.
“Akhirnya, saya bangkit dan mampu berjalan kembali,” tuturnya yang kekal berstatus OKU biarpun sudah pulih, selain menghidap sesak nafas.
Namun, ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Ini kerana, peristiwa itulah yang membawa kepada pertemuannya dengan suami.
Imbas Norazlina, semasa menjalani sesi rawatan rehabilitasi dan keadaannya beransur baik, dia dilantik sebagai Ketua Pasukan Sokongan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh, Selangor.
“Masa itu, saya diarahkan pihak hospital untuk ziarahi seorang lelaki (kini suami) kerana ingin tahu keadaan terkininya. Ketika itu, saya datang ke rumah dia buat pertama kali.
“Dia memang dalam keadaan terlantar dan tidak mampu berbuat apa-apa apatah lagi bekerja.
“Entah bagaimana, saya terfikir dan putuskan untuk melamarnya setelah hampir tiga minggu membantu menguruskannya.
“Saya jatuh cinta dengan semangatnya. Dia seorang yang begitu tenang, reda, kuat dan sabar dengan ketentuan takdir,” katanya.
Kongsinya lagi, sebelum bernikah, dia ada mengusahakan perniagaan kecil-kecilan produk sambal bagi menampung kehidupannya.
Pun begitu, ia tidak bertahan lama kerana terpaksa menghentikan perniagaan itu selepas bernikah apabila Norazlina mahu memberi fokus terhadap penjagaan suaminya yang terlantar sakit.
“Pada mulanya, suami saya memang kena dijaga 100 peratus. Saya kena dukung dan uruskannya kerana dia duduk pun tak boleh.
“Alhamdulillah, hasil rawatan dan fisioterapi, suami akhirnya pulih dan mampu hidup berdikari serta berjalan semula.
“Ketika proses pemulihan suami, kami melihat ramai lagi pesakit senasib kami yang memerlukan penjagaan khusus, mahukan sokongan, semangat dan kasih sayang daripada orang lebih berpengalaman.
“Disebabkan itu, kami terpanggil untuk bantu orang lain dengan membina sebuah rumah perlindungan yang diberi nama Rumah Penjagaan OKU Nur Aafiyah di Sungai Buloh,” katanya.
Beritahu Norazlina, sejak dibuka pada 2018, perkhidmatan di rumah penjagaan itu telah digunakan oleh 10 pesakit.
“Ini merupakan tempat mereka bersosial, berkumpul dan jalani pelbagai aktiviti termasuk mengaji al-Quran.
“Usaha membangunkan rumah penjagaan ini memberi satu kepuasan. Saya berdoa agar diberikan kekuatan untuk teruskan perjuangan kerana ramai lagi yang memerlukan sokongan dan tempat seperti ini,” ujarnya.
Namun, dia sekali lagi diuji apabila suaminya, Mohd. Nazri Mohd. Zin, kembali terlantar dan tidak boleh berbuat apa-apa sejak awal tahun ini secara tiba-tiba.
“Tahap kesihatan suami kembali merosot dan perlu jalani pembedahan berisiko tinggi pada bila-bila masa (menunggu giliran).
“Suami juga memerlukan bantuan pernafasan seumur hidup. Selain menjaga suami, saya juga mencari pendapatan dengan menjual barangan terpakai (recycle), selain menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pada masa sama, saya tetap tidak melupakan tanggungjawab kepada rumah penjagaan yang kini mempunyai empat orang penghuni,” katanya.