KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu mentuanya dengan memukul warga emas itu menggunakan tangan, pada Jun lepas.
Bagaimanapun P. Hemaath Kumar, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu dengan cara memukul mangsa berusia 63 tahun menggunakan tangan di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling di sini pukul 9.20 malam pada 25 Jun lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh manakala peguam Vinod Sharma yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin.
Tarikh 20 November ini ditetapkan untuk sebutan kes.
Difahamkan, tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan memukul isterinya. – KOSMO! ONLINE