fbpx

Lepas hilang hampir setengah juta pengikut, Syamimia mohon maaf lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamimia tampil mohon maaf sekali lagi hari ini menerusi hantaran di TikTok dan Instagramnya.

PETALING JAYA – “Saya bersama Palestin dan patung David tersebut telah dilupuskan.”

Demikian jawapan balas pempengaruh media sosial, Syamimia selepas menerima kecaman hebat oleh netizen berhubung isu Palestin serta barangan perhiasan rumah, patung David sejak dua minggu lalu.

Syamimia menerusi hantaran terbaharunya di TikTok sebentar tadi mengakui kesilapan dirinya kerana kurang cakna dengan konflik Palestin-Israel yang berlaku ketika ini.

Dia juga memberitahu akan sentiasa memperbaiki kekurangan diri selain berusaha untuk menjadi seseorang yang lebih baik pada masa hadapan.

“Dengan rendah hati, saya Syamimia ingin sekali lagi memohon maaf kepada semua di atas kekurangan saya selama ini. Isu Palestin dan ukiran patung David telah mengajar saya untuk menjadi seseorang yang lebih peka pada isu semasa dan ini merupakan pengajaran terbesar dalam hidup saya.

“Saya bersyukur bimbingan yang anda berikan dan saya mengaku bersalah kerana tidak prihatin tentang isu ini, saya akui saya masih muda dan buat kesilapan. Kekurangan ini menjadi iktibar untuk saya perbaiki diri di masa hadapan,” katanya.

“Sekali lagi saya ikhlas mohon maaf membuat anda berkecil hati dengan tindakan saya dan saya tiada niat untuk melukai sesiapa. Salam sayang, Syamimia,” katanya.

Terdahulu, Syamimia antara pempengaruh media sosial yang mempunyai pengikut ramai dengan jumlah sekitar 1.3 juta orang, namun selepas isu berkait dirinya tular, ibu kepada seorang anak itu kehilangan hampir setengah juta pengikut.

Meskipun dia telah tampil membuat permohonan maaf menerusi siaran langsung di TikTok pada minggu lalu, malah rata-rata pengikutnya tetap bertindak untuk ‘unfollow’ kerana berkecil hati dengan tindakannya sebelum ini.

Setakat hari ini, jumlah pengikut di TikTok Syamimia berbaki 863,900 orang, manakala di Instagram 331,000 sahaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI