HANYA sebulan sahaja lagi, kumpulan popular Indonesia, Noah bakal melunaskan janji kembali ke Kuala Lumpur dengan sebuah konsert sebelum mengambil keputusan berehat daripada arena muzik.
Andai kunjungan pada akhir tahun lalu berjaya menghimpunkan sekitar 2,500 peminat, menjelang kemunculan di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 11 November ini, lebih 3,000 penonton dijangka hadir.
Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah berkata, konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur adalah signifikasi kedekatan band tersebut dengan penggemar tegar mereka.
Selaku penganjur, pihaknya percaya gelanggang lebih luas mampu memenuhi permintaan khalayak melihatkan sambutan luar biasa ketika konsert terdahulu iaitu pada November 2022.
“Demi memenuhi kehendak peminat yang tidak berpeluang ke konsert tahun lalu, konsert kali ini menyediakan lokasi lebih luas bagi menampung lebih ramai penonton dengan pengalaman hebat.
“Ariel juga teruja untuk menjadikan Mega Star Arena sebagai gelanggang menyatukan semua peminat di Malaysia serta negara jiran, termasuk dari Singapura.
“Sudah pasti untuk kali ini Noah menjanjikan persembahan berbeza dengan tema baharu seperti disajikan setiap kali kemunculan mereka.
“Tambahan pula konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur adalah aksi mega terakhir mereka di negara ini sebelum berehat dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Lebih 20 lagu
Selain Ariel yang juga vokalisnya, band asal Bandung, Indonesia itu turut membariskan Lukman selaku pemain gitar dan David (keyboard).
Demi memenuhi kerinduan ramai, Noah bakal mendendangkan lebih 20 lagu termasuk karya baharu dengan iringan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Tambah Haniff, sambutan konsert Noah tahun lalu bukan hanya meliputi peminat dari Malaysia, malah Singapura, Brunei dan Indonesia juga ‘turun’ memberikan sokongan.
“Tahun lalu jualan tiket habis dalam masa kurang dua jam dengan kehadiran lebih 2,500 penonton bukan sahaja dari Malaysia, bahkan negara jiran.
“Yolo Singapura kini sedang dalam rangka menguruskan konsert Noah yang seterusnya di Singapura sebelum akhir tahun ini.
“Tiket untuk kali ini juga laris kerana ramai teruja mahu mengikuti aksi mereka yang mempunyai banyak lagu hits sebelum mereka berehat panjang,” kongsinya lagi.
Dijadualkan berlangsung pada 11 November ini
Yolo Malaysia turut menawarkan potongan harga istimewa kepada ‘Yolo Family’ iaitu bagi mereka yang pernah membuat pembelian tiket konsert kelolaan syarikat tersebut sebelum ini.