fbpx

Kerajaan bantah cadangan ubah kawasan sensitif alam sekitar di Kelantan – Nik Nazmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) membantah keputusan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan cadangan perubahan Pelan Pembangunan berkaitan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri tersebut.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada tahun 2020 lalu Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS di Kelantan.

Katanya, terdapat empat implikasi besar jika pengubahsuaian KSAS ini dilaksanakan antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN).

“Pengekalan HSK sebagai KSAS akan memastikan kawasan tersebut tidak boleh dibangunkan secara sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

“Cadangan pengeluaran KSAS di Jajahan Gua Musang dikhuatiri akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan keputusan ini masih di peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan di mana Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) negeri itu sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bermula pada 11 Oktober hingga 11 November depan.

Nik Nazmi berkata, pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari Jajahan Jeli dan Gua Musang adalah hampir 88 peratus dan ini akan menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine dan keseimbangan ekosistem di negeri itu.

Ujarnya, kawasan tersebut merupakan KSAS Tahap 1 yang merangkumi Kawasan Perlindungan sedia ada.

“Populasi Harimau Malaya dan lain-lain spesis di Kelantan termasuk gajah, seladang dan tapir akan terjejas disebabkan kehilangan habitat selain menjejaskan pergerakan haiwan-haiwan tersebut dari negeri-negeri bersebelahan iaitu dari Perak, Pahang dan Terengganu.

“Kehilangan habitat akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar yang menyebabkan kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman dan kerosakan harta-benda serta kehilangan nyawa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI