LIVERPOOL – Skuad kendalian Jurgen Klopp menepati ramalan apabila tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan besar 5-1 Liverpool ke atas Toulouse pada aksi Liga Europa yang berlangsung di Anfield awal pagi tadi.
Pada perlawanan tersebut, Diogo Jota, Wataru Endo, Darwin Nunez, Ryan Gravenberch dan Mohamed Salah masing-masing berjaya meledak jaringan sekali gus membantu The Reds mengekalkan rekod kemenangan bersih selepas tiga perlawanan.
Liverpool kini hanya perlu menewaskan Toulouse sekali lagi pada pusingan kedua bulan depan untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Bagaimanapun, pada perlawanan tersebut, Nunez sepatutnya mampu untuk meledak dua gol peribadi, namun dia gagal melakukannya biarpun berjaya menewaskan seorang pemain pertahanan dan penjaga gol Toulouse ketika gawang pihak lawan tersebut sudah pun terbuka luas.
Ketika kedudukan 3-1, penyerang antarabangsa Uruguay itu berjaya melakukan larian solo dan menewaskan pemain pertahanan serta memperdayakan penjaga gol Toulouse, Guillaume Restes, namun rembatan terakhirnya ketika pintu gawang ternganga luas sekadar terkena tiang gol.
Namun, Liverpool bernasib baik apabila Gravenberch berjaya mengesan bola melantun tersebut sebelum meledak gol keempat pada minit ke-65 perlawanan. – KOSMO! ONLINE