ATLET menembak negara, Johnathan Wong enggan terlalu memikirkan mengenai peluangnya untuk diserap masuk ke dalam program Road To Gold (RTG) selepas melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan.
Johnathan melayakkan diri pada temasya sukan empat tahun sekali itu secara merit selepas berada di kedudukan keempat dalam acara 10 meter (m) air pistol lelaki pada Kejohanan Menembak Asia di Changwon, Korea Selatan kelmarin.
Atlet kelahiran Melaka itu berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan sepanjang kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi dapat memperbaiki pencapaian terbaik musim ini dengan mencatat 582 mata di pusingan kelayakan.
“Ya, saya layak ke Olimpik dalam acara 10 m air pistol lelaki. Sudah tentu sangat bersyukur kerana dapat melayakkan diri pada Sukan Olimpik buat kali kedua selepas terlepas kelayakan ke Tokyo 2020.
“Mengenai RTG, mungkin boleh tanya jurulatih mengenainya kerana perkara seperti itu pihak pengurusan yang buat keputusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Untuk rekod, Johnathan menamatkan aksi final di kedudukan keempat selepas mengutip 201.1 mata, manakala juara menjadi milik penembak China, Zhang Yifan yang melakukan catatan 243.1 mata.
Kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 menyaksikan Johnathan melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu buat kali kedua selepas turut melakukannya ketika mara ke edisi 2016 di Rio, Brazil.
“Ia adalah pencapaian terbaik saya tahun ini. Keputusan terbaik sebelum ini adalah 580 mata ketika Sukan Asia Hangzhou tetapi kali ini saya berjaya lakukan catatan 582 mata.
“Selain itu, saya juga gembira dengan aksi di final kerana dapat menunjukkan peningkatan yang baik kali ini,” ujar Johnathan.