PETALING JAYA – Niat murni seorang lelaki meminjamkan sebuah kereta kepada rakannya sejak dua tahun lalu bertukar tragedi apabila kereta tersebut dibiarkan tersadai di parkir sebuah hotel.
Lebih malang lagi apabila kereta tersebut terpaksa ‘ditahan’ pihak hotel kerana rakannya mempunyai hutang belum dilunaskan.
Kisah malang itu dikongsi oleh seorang pengguna di laman sosial yang dikenali sebagai Dnur Kosmetik Nilai.
“Bagi member (kawan) baik pinjam kereta, dua tahun baru dapat balik. Tu pun tersadai dekat parking hotel, sampai hati betul kawan baik buat macam tu kat dia.
“Nak keluarkan kereta pun tak boleh, member (kawan) dia tu berhutang dengan pihak hotel. Kena settle (bayar) hutang dulu, kesian,”tulisnya.
Bagaimanapun, perkongsian itu tidak mendedahkan di mana dan bila tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna mengecam tindakan rakan baik individu terbabit dan mereka turut berkongsi kisah sama yang pernah dialami.
“Sebab tu lah aku ni jenis tak suka bagi orang pinjam dan bagi org berhutang, bukan masalah kedekut tapi aku nak dapat sesuatu tu susah kena kerja keras.
“Apabila kita minta balik hak kita mesti bergaduh atau masam muka padahal yang kita minta tu hak kita,”luah Sak Azim.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Milo Depao.
“Aku pernah bagi pinjam motosikal pada seorang kawan, habis pecah ‘cover set’. Tapi dia tak ada perasaan pun nak ganti.
“Sejak dari situ aku tak percaya kat kawan ke atau pun sesiapa, sebelum pinjam ayat bukan main manis lagi,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE