BIARPUN sudah tiga tahun tidak menjejakkan kaki di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, namun pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman yakin ada peluang untuk bangkit hujung minggu ini.
Syarifuddin, 21, menegaskan, dia masih segar dengan selok belok litar itu biarpun kali terakhir bersaing di trek sepanjang 4.55 kilometer tersebut pada 2019 iaitu perlumbaan Asia Talent Cup.
Justeru, Syarifuddin atau mesra dipanggil Damok yakin pengalaman lalu bakal menjadi kelebihan untuknya cuba mendapatkan penamat yang menjanjikan kutipan mata di Buriram.
“Pertama sekali, saya tidak sabar untuk beraksi di Litar Buriram. Walaupun selepas beberapa tahun tidak beraksi di litar itu (Thailand), saya masih ingat reka bentuknya.
“Saya juga bersedia untuk perlumbaan minggu ini dan berharap dapat berada dalam kelompok yang baik pada GP Thailand nanti.
“Fokus saya adalah untuk mendapatkan mata dalam perlumbaan,” kata Damok yang berada di kedudukan ke-27 dengan lima mata ketika ini.
Damok yang beraksi bersama pasukan MT Helmets-MSI itu dilihat bertekad mahu membalas kekecewaan tidak menamatkan perlumbaan pada GP Australia minggu lalu.
Di Litar Phillip Island minggu lalu, Damok gagal menamatkan perlumbaan dalam keadaan litar basah selepas penglihatannya terhalang disebabkan ‘visor’ topi keledarnya berkabus.
Disebabkan itu, Damok terbabas ketika berada di kedudukan ke-14 yang berpeluang meraih mata penting.