fbpx

Bukan nak tunjukkan degil, muda, tak hormat orang – Amelia Henderson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMELIA bersyukur keputusan mahkamah memihak kepada dirinya.

PETALING  JAYA – Pelakon Amelia Henderson tidak menyangka kemenangan akhirnya berpihak kepadanya selepas lama naik turun mahkamah berhubung kes pelanggaran kontrak dengan syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd milik penerbit, Datuk A. Aida.

Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson berkata, dia tidak pernah ingin memberi gambaran kepada khalayak dirinya seorang yang keras kepala atau sengaja mengheret kes ke muka pengadilan.

“Niat saya bukan nak ada kemenangan pun. Saya sebagai defendan, bukan saya yang naikkan kes ini ke mahkamah.

“Naik mahkamah itu bukan impian saya atau sesuatu yang saya pernah fikir nak buat dalam kehidupan. Sekarang ini, saya nak ‘move on’ daripada cerita ini.

“Sebab mengapa saya lawan adalah kerana saya rasa ada pendirian yang sangat kuat.

“Saya rasa ada sesuatu yang perlu diperjuangkan sebab saya tak setuju dengan keputusan mahkamah sesyen tempoh hari,” katanya kepada ketika ditemui Kosmo! Online di pejabat Fernandez & Selvarajah, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Jelas Amelia, 28, lagi, dia hanya ingin mempertahankan kedudukannya sebagai seorang pelakon dan tidak pernah ingin melanggar kontrak kerana dirinya sangat sayangkan kerjaya lakonan.

“Bukan nak tunjukkan saya degil, muda dan tak hormat kepada undang-undang. Saya cuma nak bercakap tentang kedudukan saya.

“Biar mahkamah yang tentukan keputusan sebab saya bukan hakim atau peguam. Saya cuma nak bersuara tentang apa yang berlaku dari pandangan saya.

“Saya hormat sangat keputusan mahkamah hari ini. Saya bersyukur kerana akhirnya saya dapat keadilan dalam situasi ini.

“Tak pernah ada niat dalam apa-apa keadaan untuk tidak menghormati sesiapa dalam industri dan orang sekeliling. Tak pernah dan tidak akan,” ujarnya lagi.

Hari ini, Amelia Henderson berjaya dalam rayuannya bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon dalam rayuan itu selain telah meneliti segala rekod rayuan secara maksima dan hujah daripada kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Amelia perlu membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah 5 peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini (keputusan dibuat).

Terdahulu, pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI