SIK – Hampir 1,000 penduduk di tiga buah kampung di sini terjejas selepas bekalan air masyarakat daripada sumber air dari kawasan bukit berhampiran rosak ekoran banjir kilat, Ahad lalu.
Tiga kampung terlibat adalah Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing dan Kampung Charuk Puyuh.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian rumah penduduk yang bergantung kepada bekalan air tersebut terjejas sementara tekanan air dari paip Syarikat Air Darul Aman (SADA) pula rendah.
Menurut Mohd. Nor Izzuan Baharom, 35, situasi sukar itu menyebabkan dia membawa ibu bapanya menginap di rumahnya di Baling, dekat sini kerana tiada bekalan air bersih.
“Bekalan air SADA biasanya ada pada waktu malam tetap terganggu sejak bah tempoh hari, manakala bekalan air masyarakat mengambil masa beberapa hari untuk dibaiki semula.
“Sukar untuk mereka tinggal di sini, tiada air untuk memasak, mandi dan mencuci pakaian,” katanya.
Penduduk Kampung Belimbing, Sharizal Bakar, 53, berkata, mereka terpaksa bergotong-royong untuk membaik pulih paip air masyarakat yang dihanyutkan arus deras banjir.
“Proses ini mengambil masa kerana empangan kecil dan paip dipenuhi pasir serta batu selain terputus dan rosak,” ujarnya.
Mohd. Zukri Ariffin, 60, berkata, banjir yang melanda turut mengakibatkan dua jambatan yang menghubungkan rumah penduduk ke kebun dan satu jambatan bagi kegunaan kerja pembalakan runtuh.
Katanya, jambatan besi di Kampung Lubuk Tualang yang dinaik taraf lebih 20 tahun lalu untuk kegunaan penduduk kampung ke kebun dan ladang getah runtuh akibat arus deras di Sungai Tebal.
“Ketiadaan jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu menyebabkan puluhan penduduk kampung tidak dapat pergi menoreh getah dan bercucuk tanam, jalan alternatif pula jauh dan menyukarkan penduduk.
“Jambatan berkenaan runtuh dirempuh arus deras dan membawa kayu balak yang dijadikan jambatan di hulu sungai.
“Jambatan di hulu sebelum ini dibina pihak pembalak, sekarang jambatan ini pun sudah hanyut, beberapa batang paip air masyarakat yang diikat pada jambatan juga tenggelam ke dasar sungai,” jelasnya.