PETALING JAYA – Reda menerima pemergian Allahyarham Bad Indigo, rakan seperjuangannya, penyanyi Shah terkilan arwah tidak sempat menyaksikan pelancaran single baharu simbolik perjuangan mereka selama ini.
Katanya, single berjudul Izinkan Aku yang dirakamkan sejak awal tahun ini menjadi lambang reunion kumpulan terbabit selepas kali terakhir tampil dengan album Episod 3 sekitar tahun 2000.
“Dari awal lagi, Allahyarham orang paling teruja mengenai perancangan projek ini terutama sebaik kawan lama kami ketika zaman KRU dahulu usulkan agar kami rakam lagu baharu.
“Kerja rakaman dilakukan berasingan kerana Zam tinggal di Johor, jadi banyak perbincangan secara Zoom sehinggalah akhirnya proses ‘mastering’ selesai beberapa minggu lalu.
“Sepatutnya selepas ini pembikinan muzik video pula menyusul, tetapi arwah pergi dulu. Kami reda, tetapi agak sayu kerana Allahyarham tak sempat tengok single ini dilancarkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Bad atau Badrul Izhan Yeop Abdullah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 7 malam, semalam selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto di Bukit Permai, Ampang, Selangor.
Pada masa sama, Shah yang juga suami kepada penyanyi Liza Hanim itu memaklumkan mereka kerap berhubung walaupun lama tidak berjumpa.
Mengakui terkejut dengan pemergian Bad malam tadi, Shah yang mengikuti perkongsian terakhir Bad dalam sebuah video Instagram tiga hari lalu mengakui sahabatnya itu nampak sihat dan bersemangat sepanjang bercakap mengenai aura positif kehidupan.
Akui pemilik nama lengkap Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, 49, sahabat yang berjuang dengannya dalam grup Indigo sejak 1996 itu tidak menunjukkan tanda-tanda ‘mahu pergi’ ketika membuat ulasan kenderaan di TikTok semalam.
“Saya terkejut sebab baru tengok video Bad di TikTok (semalam) dan beberapa jam kemudian dapat pula berita dia pergi secara tiba-tiba.
“Macam tak percaya, tetapi Allah lebih sayangkan Allahyarham. Doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham kini di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, manakala pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara selepas solat Jumaat. – KOSMO! ONLINE