SUNGAI PETANI – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menemui ajal apabila motosikal yang dia tunggang hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dalam satu kejadian di Jalan Lencongan Barat berdekatan Bandar Laguna Merbok di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda,Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 1 pagi semasa Teoh Peng Sim, 35, yang beralamat di Bandar Perdana menunggang motosikal jenis Yamaha LC berseorangan.
“Mangsa ketika kejadian mangsa sedang bergerak dari arah Lot 88 ke Bandar Laguna Merbok untuk meninjau persiapan satu majlis yang diadakan di situ.
“Ketika itu hujan lebat menyebabkan mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke kanan jalan,” katanya.
Menurut Zaidy akibat impak pelanggaran yang kuat pada bahagian pembahagi jalan di situ mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan maut serta-merta di lokasi.
Kata Zaidy, mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE