KUALA LUMPUR – Sejumlah 6,476 kes dilaporkan sejak Januari hingga September tahun ini melibatkan 4,356 tangkapan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, di bawah Statistik Keberhasilan Tangkapan dan Rampasan Elemen-elemen, jumlah itu membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM789.99 juta.
Ujarnya, daripada Cawangan Wildlife Crime Bureau (Perisikan Siasatan Khas), hasil tangkapan dan rampasan terhadap pelbagai barangan makanan sejuk beku dianggarkan bernilai RM21 juta.
“Briged Tenggara PGA pula berjaya merampas 495 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM17.8 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) berjaya melaksanakan sebanyak 28 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM37.3 juta,
“Bagi tempoh yang sama, dalam Op Kontraban melibatkan rokok dan minuman keras tidak bercukai, Pasukan Polis Marin berjaya menahan seramai 64 orang melibatkan 110 kes rampasan bernilai RM37.1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Oktober 2023 anjuran KDNKA di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, di sini, hari ini.
Dalam perhimpunan tersebut, Razarudin turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 46 orang pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan.
Beliau juga bakal melancarkan Tabung Kecemasan Solidariti Palestin Masjid Bukit Aman bersama MyFundAction dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Jubli Perak 25 Tahun Masjid Bukit Aman, malam ini.
Dalam pada itu, Razarudin menyeru semua Ketua Jabatan, Pegawai Pemerintah dan Penyelia untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penyeliaan dan pemantauan terhadap pegawai polis di bawah seliaan masing-masing tanpa pilih kasih atau berat sebelah.
“Saya mahu semua Pegawai Pemerintah memulakan pendekatan yang lebih agresif dalam memperkasakan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Bagi memastikan keberkesanannya secara berterusan, arahan ini perlulah disampaikan dalam setiap roll call, perjumpaan serta mesyuarat di semua peringkat sehingga ia dapat diadaptasi serta dihayati seterusnya dibudayakan oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE