TERENGGANU FC (TFC) optimis mengutip mata penuh menjelang pertembungan dengan kelab Filipina, Stallion Laguna FC pada aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, skuad kendaliannya kini berada pada tahap terbaik selepas mengutip satu mata berharga dari Bali United di gelanggang lawan pada awal bulan ini.
Jurulatih kelahiran Croatia itu bagaimanapun mengakui faktor beraksi pada sebelah petang mungkin akan merencatkan sedikit rentak anak-anak buahnya, namun ia bukan alasan untuk mereka dimalukan pasukan lawan.
“Kami bermula baik dengan kemenangan ke atas Central Coast Marriners dan seri dengan Bali United di Indonesia. Tiga mata bertemu Stallion Laguna merupakan keputusan yang ideal.
“Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri harus dimanfaatkan, malah kami sedar dianggap pasukan pilihan pada perlawanan esok (hari ini). Oleh itu, pemain-pemain saya perlu memberikan aksi terbaik,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Kuala Nerus semalam.
Steinbruckner berkata, TFC bagaimanapun tidak mengambil mudah kemampuan pasukan lawan meskipun mereka telah dibelasah oleh Central Coast Marriners dan Bali United sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik meskipun beberapa pemain masih dalam status 50-50 untuk diturunkan akibat masalah kecederaan termasuk ketua pasukan, Habib Haroon.
Sementara itu, Habib menyerahkan kepada ketua jurulatih tentang kedudukannya dalam kesebelasan utama aksi terbabit.
Pemain berasal Bahrain itu menjelaskan beliau cuma mengalami kecederaan ringan ketika pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu KL City FC, 21 Oktober lalu, namun telah terlepas tiga sesi latihan.
“Sudah tentu saya mahu mengetuai pasukan ini pada petang esok (hari ini) malangnya tahap kecergasan belum mencapai 100 peratus. Terpulang kepada ketua jurulatih (Steinbruckner) untuk membuat keputusan.
“Apa yang penting rakan sepasukan yang akan diturunkan nanti perlu memastikan tiga mata mutlak menjadi milik TFC dan tidak mensia-siakan peluang terhidang bertemu Stallion Laguna,” jelasnya.