ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang disiasat berkaitan kes kemalangan maut di Jalan Kuala Kedah, di sini pada Ahad lalu disyaki menjadi mangsa rogol dua lelaki sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
“Kita telah menahan seorang suspek malam tadi dan sedang memburu seorang lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rogol tersebut.
“Remaja terbabit mendakwa pernah melakukan hubungan seks dengan dua lelaki pada awal tahun ini dan beberapa hari sebelum kemalangan berlaku,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam Ahad lalu, seorang wanita, Nur Shafiqah Abdullah, 32, maut setelah motosikal dinaiki bersama kakaknya, Nooraliza, 43, dirempuh kereta jenis Proton Satria dipandu remaja terbabit.
Mengulas mengenai kes kemalangan itu, Fisol memberitahu, remaja itu didapati negatif dadah dan ibunya turut dipanggil bagi membantu siasatan, namun kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita akan lengkapkan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum menyerahkannya kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
“Apabila siasatan dijalankan, didapati hubungan yang berlaku itu kebanyakannya secara suka sama suka, namun disebabkan kejadian melibatkan remaja bawah umur, maka kes diklasifikasikan sebagai rogol,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE