PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya seperti jatuh ditimpa tangga selepas kedudukan ranking menurun ke tangga-137 susulan kegagalan menjulang trofi Pestabola Merdeka baru-baru ini.
Menerusi kemaskini terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebentar tadi, skuad kendalian Kim Pan-gon telah turun tiga anak tangga berbanding kedudukan 134 dunia yang dicatat September lepas.
Pengurangan mata ranking itu berdasarkan perkiraan semasa termasuk dua aksi Pestabola Merdeka apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan selepas menang 4-2 ke atas India pada aksi pertama.
Berdasarkan ranking Asia Tenggara, Vietnam berada di kedudukan 94 dunia (
1236.25 mata), Thailand berada di posisi ke-114 dunia (1177.12 mata) manakala skuad kebangsaan pula mengutip 1096.72 mata.
Skuad Filipina pula mengumpul 1095.94 mata dan lebih tinggi berbanding negara jiran, Indonesia di kedudukan ke-145 (1069.82 mata) dan Singapura di tempat 155 dunia (1032.89 mata).
Pasukan kebangsaan akan mengalihkan tumpuan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bermula pada bulan depan. – KOSMO! ONLINE