fbpx

Program MyBrain 2.0 bermula tahun depan, 500 penerima biasiswa ditaja setiap tahun – Mohamed Khaled

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian surat tawaran penajaan KPT 2023 di sini, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan 500 penerima biasiaswa bagi Program MyBrain 2.0 setiap tahun bermula tahun hadapan membabitkan peruntukan RM20 juta setahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penerima program itu akan terdiri daripada kalangan orang awam tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap termasuk pensyarah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Beliau berkata, program yang dijenamakan semula daripada MYBrain15 itu mula diperkenalkan pada 2011 sebelum dihentikan pada 2016.

“Program MyBrain 2.0 juga diperkukuh menerusi aspek cakupan dan pelaksanaannya termasuk pengemasan kontrak bagi mengelakkan pelanggaran terma penajaan oleh penerima biasiswa.

“KPT memperuntukkan RM20 juta setiap bagi setiap ambilan khususnya dalam bidang-bidang yang kompetitif seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di pelbagai peringkat.

“Program biasiswa MyBrain 2.0 ini boleh dimohon oleh semua yang layak bermula Januari tahun depan,” katanya ketika melancarkan program itu di sini, hari ini.

Katanya, beberapa penambahan baharu dibuat menerusi Program MyBrain 2.0 iaitu memastikan pelajar tajaan menamatkan program, memberi pilihan kepada pelajar memilih tempat pengajian di IPTA dan IPTS tempatan dan elaun sara hidup sebanyak RM1,000 sebulan sepanjang pengajian.

Jelasnya lagi, pemilihan pelajar bagi tajaan biasiswa ini juga akan melalui tapisan kelayakan akademik lebih ketat dan mewajibkan sesi temuduga bagi pelajar baharu sekali gus melahirkan graduan berkualiti.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, prestasi pelajar juga akan dipantau menerusi Sistem Biasiswa Bersepadu (SBB) yang membolehkan pelajar memuat naik Laporan Kemajuan secara dalam talian dan penilaian kemajuan pelajar dilaksanakan secara sistematik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI