PUTRAJAYA – Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) dilihat menjadi platform terbaik yang menghubungkan penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya dalam mengutarakan isu yang dihadapi kumpulan berkenaan.
Dalam konteks ini, rata-rata penuntut menyambut baik sesi libat urus dijalankan NRC memandangkan ia memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menilai dasar pendidikan tinggi negara agar seiring dengan peredaran masa kini.
Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan Presiden UNIKL Students Representative Council, Zulfikri Zulkifli berkata, penubuhan NRC merupakan inisiatif yang disambut baik golongan penuntut IPT berikutan maklum balas kelompok itu turut diberi keutamaan.
“Sesuatu dasar yang bakal diwujudkan kerajaan akan memberi impak kepada pelajar. Jadi maklum balas golongan ini penting untuk NRC menjalankan langkah transformasi seterusnya.
“Komunikasi dua hala antara pelajar dan kerajaan diperlukan untuk bersama-sama menilai semula dasar pendidikan tinggi sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.
“Saya berpandangan sesi libat urus antara NRC dan pelajar perlu dilaksanakan secara tahunan ekoran perubahan masa berlaku secara pantas, membolehkan KPT melihat kepada kajian semula dasar bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara, di sini baru-baru ini.
Pada majlis itu, KPT memberi peluang kepada orang ramai menilai cadangan kajian semula sektor pendidikan tinggi kebangsaan meliputi 58 isu cadangan penambahbaikan serta cadangan penyelesaian dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Majlis Penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selain turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri, Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Dalam pada itu, menerusi pelaksanaan Makmal Mini NRC pada Jun lalu yang menyenaraikan 58 syor penambahbaikan, NRC telah mengenal pasti lapan tumpuan dan tiga tema utama yang disifatkan bakal memberi perubahan segera kepada lanskap pendidikan tinggi negara.
Antaranya ialah pembiayaan berasaskan prestasi melibatkan pengenalan mekanisme baharu pembiayaan, yang mana Universiti Awam (UA) terikat dengan kerajaan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) untuk menghasilkan pelajar dan penyelidikan yang berkualiti tinggi.
Selain itu, NRC melihat kepada aspek pemerkasaan dana endowmen universiti dengan cadangan menghapuskan peraturan perbelanjaan tahunan sebanyak 50 peratus yang dikenakan terhadap endowmen dan dana wakaf.
Untuk memastikan kelestarian pendanaan pendidikan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), NRC mencadangkan pengenalan kaedah pembayaran balik pinjaman mengikut Income Contingent Loan (pembayaran berasaskan pendapatan) supaya tidak menjejaskan peminjam.
Selain itu, KPT juga disarankan supaya memberi perhatian kepada pendigitalan dan kesediaan teknologi dalam mendepani cabaran teknologi dalam pendidikan tinggi.
Mengulas lanjut mengenai tumpuan NRC kepada bidang TVET, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Pembinaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, keputusan itu bakal mengubah imej aliran itu, seterusnya meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.
Ujarnya, ia bakal mengangkat martabat bidang TVET agar seiring dengan aliran utama lain seperti sains, sekali gus menarik minat lebih ramai pelajar menyambung pengajian di peringkat tertinggi.
“Ekosistem TVET kini sudah berubah dan tidak lagi dipandang sebagai alternatif, sebaliknya diangkat sebagai aliran pendidikan utama.
“Saya berharap antara pembaharuan bakal dibawa KPT ialah terus memainkan peranan bagi mengangkat imej TVET dengan memastikan penglibatan berterusan, khususnya di peringkat kementerian terlibat,” jelasnya.