KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lagi suspek tempatan yang juga pekerja di syarikat i-Serve bagi membantu siasatan berhubung isu pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan seorang pengasas syarikat penerbangan tambang rendah bergelar ‘Datuk’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tiga suspek ditahan di Menara KPJ manakala seorang lagi di Bukit Tunku, di sini, hari ini.
“Pada pukul 1 hingga 1.30 tengah hari tadi, kita menahan tiga suspek melibatkan dua wanita dan seorang lelaki tempatan di Menara KPJ.
“Suspek wanita masing-masing berusia 30 dan 33 tahun manakala lelaki terbabit berusia 48 tahun.
“Suspek pertama, 30, bekerja di I-Serve Technology & Vacation Sdn Bhd sebagai ‘Treasury Assistant’ manakala suspek wanita kedua, bekerja sebagai Pengurus Kewangan di syarikat sama secara dalam talian sejak 2013,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, suspek ketiga bekerja di syarikat berkenaan sejak 2006 sebagai Pengurus sektor R&D.
Jelasnya, suspek keempat, lelaki berusia 62 tahun yang ditahan di Bukit Tunku pula bekerja sebagai Peguam i-Serve.
“Kesemua tangkapan dibawa balik ke pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) untuk tindakan lanjut.
“Siasatan sedang diteruskan dan permohonan reman akan dibuat pada pukul 10 pagi esok,”jelasnya. -KOSMO! ONLINE