fbpx

Mek Bunga kini sudah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. ADAM (kanan) terpinga-pinga selepas melihat Mek Bunga yang rebah secara tiba-tiba sebelum mati di Kampung Kubang Edang, Peringat, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Seorang remaja kehilangan kata-kata apabila haiwan peliharaannya yang pernah memenangi pertandingan lembu cantik ditemui mati di kandang rumahnya di Kampung Kubang Edang, Peringat di sini kelmarin.

Lembu baka Limousine yang bernilai lebih RM20,000 milik Mohd. Adam Mohd. Alamin, 16, itu disahkan mati pukul 11 pagi ketika remaja tersebut sedang memandikan haiwan berkenaan.

Mohd. Adam berkata, sebelum rebah, lembu diberi nama Mek Bunga yang mengandung anak pertama itu menunjukkan kelainan apabila enggan memakan rumput dan dedak.

Dia mengesyaki lembu itu demam kerana haiwan tersebut sebelum ini tidak pernah menolak sekiranya diberikan rumput dan dedak.

“Melihat suhu badannya yang panas, saya memberi minuman aloe vera untuk menyejukkan badan pagi semalam (kelmarin).

“Selepas itu, saya memandikan Mek Bunga sebelum ia tiba-tiba rebah dalam kandang.

“Saya terkejut melihat ia tiba-tiba mati di depan mata. Mek Bunga merupakan haiwan ke­sayangan saya sejak tiga tahun lalu dan saya menjaganya de­ngan baik sepanjang tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Adam memberitahu, dia terkilan kerana tidak sempat melihat anak Mek Bunga yang dijangka lahir dalam masa beberapa hari lagi.

Menurutnya, dia tidak menjangka panas badan Mek Bunga itu boleh menyebabkan haiwan itu mati secara tiba-tiba.

“Lembu itu memang tidak mahu makan sejak beberapa hari lalu. Saya fikir ia akan melahirkan anak tidak lama lagi. Rupa-rupanya petanda ia akan mati.

“Saya memelihara Mek Bunga sejak tanpa bantuan daripada ayah. Saya anggap kejadian ini tiada rezeki meskipun sudah membantu ayah menternak hampir 10 ekor lembu di kandang ini,” katanya.

Tambahnya, Mek Bunga pernah memenangi pertandingan lembu cantik yang diadakan di Pantai Irama, Bachok baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI