fbpx

Mejar didakwa buat tuntutan palsu kelas bimbingan anak tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini, hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan bayaran kelas bimbingan anak tentera, kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazeri Noor, 55, yang juga bapa kepada enam anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan seorang pegawai sel pendidikan am Jabatan Arah Pendidikan di Kementerian Pertahanan Malaysia dalam membuat tiga bayaran tuntutan bagi kelas bimbingan untuk anak-anak tentera kawasan Pulau Pinang bagi kategori UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan PT3 atau Pentaksiran Tingkatan Tiga.

Pegawai tersebut juga tidak akan memproses bayaran keseluruhan tuntutan itu yang berjumlah RM4,345 sekiranya beliau tahu kelas bimbingan berkenaan tidak dilaksanakan iaitu antara Februari hingga Ogos 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Mac hingga 24 September tahun yang sama di Sel Pendidikan Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak, Bayan Lepas.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee.

Semasa prosiding berlangsung, pihak pendakwa raya telah memohon kepada mahkamah untuk menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut bersama beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, tertuduh meminta agar tiada jaminan berbayar dikenakan terhadapnya kerana dia perlu menanggung keenam-enam anaknya yang masih belajar.

Pada masa sama, tertuduh juga mendakwa bahawa dia sedang menghidap beberapa penyakit termasuk darah tinggi yang memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Zulhazmi kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan selain mengenakan beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi oleh tertuduh.

Antara syarat tersebut ialah tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi kes tersebut sepanjang perbicaraan berlangsung, melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Zulhazmi turut menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu proses serahan dokumen serta lantikan peguam daripada tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI