DI pawagam Malaysia sekarang, terdapat sebuah karya bernuansa dokumentari yang wajar menjadi tontonan. Naskhah berkenaan penting untuk rakyat yang masih bingung atau keliru dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jikalau ilmu di dada masih kosong atau tidak terisi dengan kebobrokan ataupun kebenaran isu terbabit, silalah berkunjung ke panggung berdekatan ‘mempelajari’ perihal 1MDB yang masih belum disingkap sepenuhnya sehingga ke hari ini.
Berjudul Man On The Run, karya berkenaan merupakan arahan dan tulisan Cassius Michael Kim. Ironi, sudah begitu lama mastermind atau dalang utama Jho Low dicari, sehingga hari ini, lelaki bermata sepet dan bertubuh gempal itu masih belum berjaya diberkas.
Membuak-buak geram
Sehingga muncul filem dokumentari tersebut, batang hidungnya masih tidak dapat dikesan.
‘Hebat’ sungguh Jho Low memperdaya orang sekeliling dan menjadi ‘halimunan’ hingga saat ini. Maaf bukan hebat tetapi sungguh licik.
Penulis sempat berkunjung ke pawagam minggu lalu menyaksikan filem berkenaan dan hasilnya, cukup lumayan.
Lumayan yang memberikan seputar pembelajaran dalam minda yang barangkali sebelum ini tidak begitu cakna tentang isu 1MDB sehingga ‘meletakkan’ Malaysia di peta dunia.
Selepas menonton Man On The Run, semakin membuak-buak rasa amarah terhadap mereka yang tamak haloba mengumpul wang, emas atau harta bertimbun-timbun sedang rakyat negara ini bermati-matian membayar cukai.
Malaysia bukanlah sebuah negara miskin, kita ada segala-galanya dan peluang terbentang luas untuk negara mencapai status negara maju pada bila-bila masa. Masalah tentang bumi bertuah ini adalah terdapat ramai manusia rasa tidak pernah ‘cukup’.
Tidak pernah cukup sampai menginginkan segala-galanya seraya membelakangkan undang-undang dan rasa kesulitan orang ramai.
Bagaimana wang membuatkan sebilangan manusia itu buta atau acah-acah tidak nampak. Itu yang sarat ditonjolkan dalam Man On The Run.
Sampai ke tahap itu wang bersalut pengaruh atau kuasa membuatkan seseorang menjadi tuli, buta dan terlazim membelanjakan wang yang bukan milik mereka.
Kelicikan Jho Low
Jho Low, seorang ahli perniagaan misteri dan playboy mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia menerusi apa yang diketahui umum sebagai 1MDB.
Dengan kerjasama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, Low dipercayai menyalurkan berbilion-bilion wang ke dalam akaun bank global untuk menyokong gaya hidupnya yang mewah, termasuk pesta Hollywood dan bahkan membiayai pembikinan filem The Wolf Of Wall Street.
Itu adalah antara sekelumit perihal yang ditelanjangkan dalam Man On The Run. Banyak lagi perkara lain yang dipaparkan, termasuk pengaruh selebriti, orang kenamaan, negara-negara terlibat dengan skandal ‘memalukan’ itu.
‘Penyelidikan’ yang dilakukan Cassius Michael Kim membongkar rangkaian rasuah serta mendedahkan impak skandal kewangan besar-besaran itu dalam sebuah naskhah.
Kalau ingin dibandingkan kualiti filem dokumentari berkenaan dengan filem-filem yang pernah menerima ulasan penulis sebelum ini, rasanya itu bukan satu yang berbentuk adil. Rasa macam bukan apple to apple.
Apa yang ingin disarankan di sini adalah, ramai tidak mengetahui skandal 1MDB yang menjadi percakapan global. Kalau tanya orang yang duduk di pedalaman, kebanyakan mereka tidak tahu kerana sibuk kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Semoga tontonan ini memberi ‘pendidikan’ kepada khalayak agar menjauhi pemimpin atau individu haloba kuasa dan menyusahkan negara.