LIVERPOOL – Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool mahu melebarkan rekod bersih dalam saingan Liga Europa dengan memburu kemenangan ketiga apabila bertemu wakil Ligue 1, Toulouse di Anfield awal pagi esok.
Jika mengukur kekuatan kedua-dua pasukan, The Reds dijangka tiada masalah untuk menewaskan Toulouse biarpun menurunkan barisan simpanan dalam perlawanan ketiga Kumpulan E itu.
Ia berdasarkan pertemuan terakhir menentang Toulouse menyaksikan Liverpool menang 5-0 dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara pada 2007.
Untuk aksi kali ini, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dijangka merehatkan ramai bintang utama pasukannya dengan memberi peluang kepada pemain-pemain seperti Darwin Nunez dan Wataru Endo beraksi dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, kapten Toulouse, Vincent Sierro menegaskan, dia dan rakan-rakannya mahu memanfaatkan sepenuhnya kesempatan itu jika Liverpool mengambil mudah dengan menurunkan skuad kedua menentang mereka.
“Liverpool adalah impian semua orang. Kami tidak pergi ke Anfield hanya untuk melengkapkan perlawanan semata-mata tetapi kami mahu pulang dengan kemenangan.
“Kami akan tampilkan kelas kami yang tersendiri. Kami sudah mengkaji pihak lawan dan akan cuba mengeksploitasi kelemahan mereka,” katanya.
Selepas bertemu Toulouse, Liverpool akan meneruskan saingan mereka dalam saingan EPL menentang Nottingham Forest pada Ahad ini sebelum berdepan Bournemouth untuk aksi pusingan keempat Piala Liga Inggeris empat hari kemudian. – AGENSI