SUNGAI PETANI – Seorang lelaki ditemui sudah meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di hadapan sebuah masjid di Taman Keladi, di sini semalam.
Mayat mangsa, Rosli Wahab, 57, merupakan bekas pengawal keselamatan Masjid Al-Muttaqin di Taman Ria, di sini ditemui di dalam MPV jenis Proton Exora kira-kira pukul 6.35 petang.
Anak sulungnya, Nor Faizah, 28, berkata, bapanya dipercayai keluar dari rumah di Taman Ria, di sini yang didiami bersama ibu tirinya pada Selasa lalu.
“Ayah tidak pulang sehingga malam dan ibu tiri ada keluar mencarinya di beberapa lokasi yang biasa dikunjungi, namun gagal menemuinya.
“Kami sekeluarga hanya mengetahui bapa ditemui meninggal di dalam kenderaan di hadapan masjid itu melalui media sosial sebelum dihubungi pihak polis malam tadi,” katanya yang tinggal di Bandar Puteri Jaya, di sini.
Katanya, semasa berada di lokasi penemuan itu, dia dimaklumkan oleh seorang saksi bahawa bapanya telah berada di situ sejak pukul 10 malam, Selasa lalu.
“Saksi terbabit turut memaklumkan dia tidak mengejutkan bapa saya kerana beranggapan dia sedang tidur dengan enjin kereta berfungsi.
“Walau bagaimanapun saksi itu terkejut kerana kereta itu dilihat masih berada di situ pada pukul 3 petang semalam dengan enjinnya tidak lagi berfungsi,”
Ujarnya.
Tambahnya, saksi itu kemudian cuba mengejutkan bapanya namun tiada tindak balas sebelum menghubungi pihak polis.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah. – KOSMO! ONLINE