PUTRAJAYA – Kumpulan pertama melibatkan tiga mangsa pemerdagangan manusia oleh sindiket Macau Scam yang diselamatkan di Peru selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.36 petang tadi.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa itu diterbangkan dari Peru melalui penerbangan KLM Royal Dutch Airlines KL 805.
Katanya, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang baki 37 orang mangsa lain dijadual tiba di tanah air secara berkumpulan pada 28 Oktober hingga 1 November depan.
“Dalam masa yang sama, tiga orang warganegara Malaysia masih ditahan oleh pihak berkuasa Peru untuk proses siasatan lanjut berdasarkan undang-undang tempatan,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, KLN merakamkan penghargaan kepada kerajaan Peru atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam usaha menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan dan mempercepat proses penghantaran balik mangsa.
“KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Lima akan terus memantau perkembangan kes ini dan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, KLN dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru dalam serbuan di Lima, pada 7 Oktober lalu.
Serbuan itu dijalankan Polis Peru di rumah di La Molina, di mana kesemua mangsa warganegara Malaysia terbabit sudah dikenalpasti dan diselamatkan. – KOSMO! ONLINE