SEPANG – Kesemua 43 mangsa jenayah sindiket penipuan antarabangsa yang diselamatkan di Peru pada 7 Oktober lalu terpedaya kerana menyangka akan dapat pekerjaan di Belanda.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, semua mangsa lingkungan usia 18 tahun sehingga 30 tahun ke atas itu difahamkan sedang mencari pekerjaan dan dijanjikan bertugas sebagai tukang masak restoran, pekerja hotel atau kasino.
“Mereka hanya sedar ditipu apabila menaiki pesawat lain menuju ke ibu kota Peru, Lima akhir bulan lalu.
Kami difahamkan mereka sebenarnya tidak tahu pun kena kerja di Peru kerana asalnya naik penerbangan ke Amsterdam pada 28 September lalu.
“Mereka ditawarkan tiket penerbangan percuma bahkan penginapan dan makan minum pun ditanggung geng berkenaan sebelum menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu,” katanya kepada pemberita semasa menyambut kepulangan tiga mangsa kumpulan pertama hari ini.
Mereka menaiki pesawat KLM Royal Dutch Airlines penerbangan 805 selamat tiba pukul 1.36 tengah hari di Terminal 1, KLIA di sini.
Menyentuh baki 40 orang mangsa lagi, beliau menambah bahawa mereka akan dibawa pulang secara berasingan masing-masing pada 28, 29 dan 30 Oktober serta 1 November. – KOSMO! ONLINE