GUA MUSANG – Sebanyak 50 buah keluarga yang tinggal di Taman Perumahan MGH dekat Bandar Gua Musang di sini hidup dalam ketakutan selepas seekor gajah lapar masuk ke kawasan tersebut awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, kelibat gajah liar yang membawa buah kelapa dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) rumah penduduk dan seorang penduduk di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Muhamad Faez Azmi, 28, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur dan tersedar apabila mendengar bunyi gajah yang berada hampir dengan kawasan rumahnya.
Katanya, dia terus keluar ke beranda rumah untuk melihat gajah tersebut yang sedang berkeliaran di depan rumah.
“Saya melihat gajah setinggi garaj kenderaan berada di depan rumah dengan membawa sebiji buah kelapa.
“Saya sangat takut, namun sempat merakam video gajah terbabit sebelum menghantarnya ke kumpulan WhatsApp perumahan kerana bimbang keselamatan penduduk lain yang akan ke masjid untuk menunaikan solat subuh terserempak dengan haiwan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Perumahan MGH di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Ruzaini Bakar, 51, berkata, kejadian itu merupakan kali pertama gajah liar dilihat muncul di kawasan perumahan sejak penduduk tinggal di kawasan tersebut 20 tahun lalu.
Katanya, kemunculan gajah liar itu mengejutkan penduduk kerana Taman Perumahan MGH terletak di kawasan bandar Gua Musang.
“Kami sudah membuat laporan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Anggota Perhilitan datang pagi tadi untuk meninjau sekitar kawasan perumahan kami.
“Penduduk bimbang sekiranya gajah itu datang semula dan berharap tindakan segera dapat diambil termasuk pemantauan daripada pihak berwajib supaya penduduk rasa lebih selamat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk di perumahan terbabit mengenai kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE