GURUN – Demi kasih kepada ibu, pasangan adik-beradik dari Kampung Batu 8, Jeniang, di sini sanggup berkorban menjaga wanita itu yang terlantar sakit sejak lebih lapan tahun lalu.
Akhilah Ahmad, 47, disahkan menghidap rheumatoid arthritis iaitu penyakit autoimun yang melibatkan sistem muskuloskeletal yang mana terdapat radang pada sendinya.
Anaknya, Nor Adira Mohamad Zaidi, 20, berkata, disebabkan penyakit itu, ibunya tidak dapat bergerak dan lama-kelamaan tangan dan kaki wanita itu membengkok.
“Ibu memerlukan perhatian sepanjang masa terutama ketika ayah (Mohamad Zaidi Mohd. Desa) tiada di rumah kerana bekerja sebagai pembantu kedai makan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Nor Adira memberitahu, sepanjang tempoh itu, dia mengambil alih tanggungjawab menjaga ibunya selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lalu.
“Dulu saya tinggal di asrama di Bedong, Merbok, jadi adik saya yang berusia 15 tahun (Muhammad Haikal) yang urus ibu. Biasanya saya akan menjaga ibu pada sebelah siang, manakala adik pula menjaga pada waktu malam,” ujarnya.
Akhilah menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi kategori orang kelainan upaya (OKU) sebanyak RM300 sebulan dan zakat RM400 sebulan.
Lebih separuh wang bantuan itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang.
“Saya tidak kisah mengorbankan masa menjaga ibu kerana mahu berbakti kepadanya walaupun tidak dapat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Bagi saya, pengorbanan ibu tidak setimpal dengan jasa dia melahir dan membesarkan kami,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Akhilah di talian 019-4280443 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0212541000027153.