fbpx

Dewan Rakyat: Malaysia hasilkan klon pokok getah tahan serangan penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang melakukan kajian bagi menghasilkan klon pokok getah yang tahan serangan penyakit termasuk serangan penyakit akar.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, prosedur torehan yang dapat meningkatkan produktiviti juga sedang dikaji.

“Tumpuan kita (membantu pekebun kecil dalam jangka masa panjang) adalah dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D). Salah satu cabarannya adalah penyakit akar putih.

“Kita buat kajian supaya kita dapat hasilkan klon pokok yang dapat bertahan daripada serangan penyakit akar dan sebagainya. Begitu juga kita sedang lihat prosedur torehan kerana dengan torehan yang baik maka produktiviti keluaran getah akan lebih baik.

“Sebab itu kita sedang buat kajian teknologi genom untuk kenal pasti klon getah yang berkualiti,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung langkah jangka masa panjang kerajaan bagi membantu pekebun kecil.

Fadillah berkata, pada masa sama “Malaysia Sustainable Natural Rubber Standard” sedang dibangunkan secara rintis bagi memastikan keluaran getah Malaysia adalah mampan di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, beliau berkata, kenaikan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta diharap dapat membantu meringankan beban pekebun kecil ketika berlaku ketidaktentuan harga getah.

Menurut beliau, sehingga Ogos 2023 pemberian IPG telah memberi manfaat kepada 217,705 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM474.54 juta.

“Kerajaan memang maklum berhubung cabaran harga getah yang rendah dihadapi pekebun kecil. kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu pekebun getah,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Adnan apakah langkah-langkah dan inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah yang sedang berhadapan cabaran harga getah rendah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI