KUALA LUMPUR – Malaysia harus bersedia dan memperketatkan aspek keselamatan serta risikan berikutan peperangan yang berlaku di Palestin ketika ini.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mungkin ramai tidak sedar konflik Palestin-Israel kali ini berpotensi merebak ke seluruh rantau dan dunia.
“Saya berada dalam bidang keselamatan sejak sedekad lalu sebagai Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri.
“Satu-satunya kepentingan saya menyuarakan ini demi keselamatan rakyat dan negara. Bukan untuk timbulkan ketakutan, tetapi untuk Malaysia lebih bersedia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Terdahulu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, tentera dan kapal perang Amerika Syarikat telah bersedia di rantau berkenaan ketika ini.
Menurut beliau, kapal-kapal perang China pun turut bersedia di rantau berkenaan dan barisan perang baharu telah dibuka di utara dengan Hizbullah.
“Serangan telah dilakukan di Syria. Peluru berpandu dari pihak IDF pula semakin agresif di Tebing Barat. Sekarang mula terdengar ancaman serangan darat ke atas gaza.
“Ini disifatkan sebagai keterlaluan dan berlebihan. Sempadan bakal bertukar dan seluruh rantau bakal berperang. Percerobohan dan serangan ke atas Gaza hanya akan menyebabkan perang serantau,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Malaysia tidak boleh mengambil mudah hal tersebut kerana ia juga mampu memberi kesan yang buruk kepada rantau ini.
“Apa rasionalnya? Apabila orang ramai dipengaruhi naratif tidak adil dan berat sebelah pihak tidak bertangungjawab akan ada pihak cuba mengambil kesempatan dalam krisis ini.
“Jangan kita lupa rantau kita juga terdedah kepada risiko ini. Memang terdapat sel-sel pengganas di selatan Filipina, selatan Thailand dan Indonesia malah kita di Malaysia pun tidak terkecuali,” katanya
Sehubungan itu, katanya, keselamatan dan risikan di Malaysia mesti diperketatkan dan perkembangan yang sedang berlaku mesti dipantau secara rapi.
“Kita mesti segera membuat persediaan dan Menteri Dalam Negeri serta Menteri Pertahanan mesti bersedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE