KUALA LUMPUR – Isu berkenaan nasib pekebun kecil disebabkan harga getah yang rendah antara perkara yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat pagi ini.
Berdasarkan Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, persoalan isu tersebut akan dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah).
Beliau mahu tahu apakah langkah dan inisiatif sedang dan akan dilaksanakan kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah yang berhadapan dengan cabaran harga getah rendah.
Isu sama turut dijangka dibangkitkan oleh Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) di Dewan Rakyat yang mahu tentang harga lantai getah semasa.
Beliau dalam masa yang sama akan mengemukakan soalan mengapa kerajaan Malaysia masih mengekalkan import getah dari Thailand, Vietnam dan Afrika.
Selain itu, isu berkenaan konflik Palestin-Israel terus dijangka menjadi tumpuan sidang Dewan Rakyat pagi ini apabila dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).
Beliau meminta Menteri Luar
Negeri menyatakan mengapa kerajaan masih belum menyatakan pendirian dan tindakan yang lebih tegas dalam isu konflik di Palestin.
Termasuk mendesak agar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Sementara itu, Wong Chen (PH-Subang) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang seperti LRT, MRT dan bas Rapid KL. – KOSMO! ONLINE