fbpx

Cuti bomba dibekukan secara berkala, 80 peratus bertugas sepanjang MTL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permohonan cuti bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bakal dibekukan secara berkala sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi bersiap siaga dalam menghadapi bencana banjir yang akan bermula bulan depan sehingga Mac 2024.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya telah melakukan perancangan awal untuk menghadapi bencana khususnya membabitkan permohonan cuti anggotanya.

“Kita memang telah merancang lebih awal dari segi pembekuan cuti. Kita akan memastikan sebanyak 80 peratus daripada 13,475 anggota akan bertugas sepanjang musim MTL.

“Sehubungan itu, 20 peratus lagi akan diberi cuti tertakluk kepada situasi banjir. Kita akan berikan cuti kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika sidang akhbar di Kuarters Bomba Cheras, di sini, selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Bencana JBPM tahun 2023.

Bagaimanapun, pembekuan tidak dilakukan secara serentak di seluruh Malaysia dan ia bergantung kepada situasi banjir nanti.

“Kalau banjir berlaku di peringkat daerah, kita bekukan di daerah itu dulu. Sekiranya sudah memasuki peringkat negeri maka kita akan bekukan cuti anggota yang bertugas di negeri tersebut.

“Sekiranya bencana sudah memasuki tahap kritikal maka seluruh Malaysia akan dibekukan. Pembekuaan cuti anggota kita berkuat kuasa sepanjang tempoh MTL,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI