PETALING JAYA – Baru sahaja menamatkan zaman duda, penyampai radio Fizi Ali menitipkan ucapan istimewa buat isteri tersayang, Siti Zulaikha bersempena dengan hari ulang tahunnya yang ke-30.
Bagi Fizi atau nama lengkapnya Mohd. Hafizudin Alimudin, dia terharu mempunyai Zulaikha atau dikenali sebagai Tiz di sisi yang mampu mengembalikan semula senyumannya di bibirnya.
“Selamat hari jadi sayang. Terima kasih untuk semuanya termasuk kebahagiaan yang awak bagi kepada saya dan anak-anak.
“Saya ingat satu janji awak yang akan buat saya tersenyum balik.
“Ya alhamdulillah senyuman itu datang bila awak ada dalam hidup saya,” kongsinya dalam hantaran Instagram.
Pada masa sama, penyampai radio berusia 36 tahun itu memohon maaf kerana tiada sambutan hari lahir mewah buat isterinya itu. Namun, Fizi berjanji akan hidup susah senang bersama.
“Terlampau banyak mahu saya katakan tetapi saya tidak pandai menulis. Cuma satu sahaja, terima kasih menjadi bidadari saya.
“Maaf tiada sambutan apa-apa, sayang awak. Insya-Allah kita akan tempuh semuanya bersama-sama. Saya sayang awak,” ujarnya.
Pada 23 Oktober lalu, Fizi mengejutkan ramai apabila menamatkan zaman duda dengan Siti Zulaikha.
Sebelum perkahwinan dengan Zulaikha, Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Shakilla pada 18 Februari 2018.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Ameena Sofia yang kini sudah berusia empat tahun. -KOSMO! ONLINE