IPOH – Bahasa pertuturan Perak yang asli adalah bahasa dialek yang dituturkan oleh penduduk di Kuala Kangsar dan Perak Tengah.
Perkara itu dikongsikan dalam Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti Moh Labun Loghat Perak di sini hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kedudukan Perak bersempadan dengan banyak negeri menyumbang kepada perkongsian budaya dan penggunaan dialek di negeri tersebut.
Beliau merujuk beberapa negeri yang bersempadan dengan Perak seperti Kedah, Pulau Pinang dan wilayah selatan Thailand, Kelantan serta Selangor.
“Justeru, tidak hairanlah bahasa kolokial yang digunakan oleh penduduk setempat telah diresapi oleh dialek negeri-negeri yang bersempadan dengannya, contohnya dialek Pattani di daerah Hulu Perak, dialek Kedah di Taiping dan kawasan ke utara serta dialek Selangor di daerah Ipoh dan ke selatan.
“Bahasa pertuturan Perak yang asli adalah bahasa dialek yang dituturkan oleh penduduk di Kuala Kangsar dan Perak Tengah,” katanya menerusi teks yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd. Yusof, di sini hari ini.
Kata beliau, faktor geografi atau muka bumi, migrasi, sejarah dan demografi juga memainkan peranan penting dalam penggunaan bahasa yang dituturkan.
“Bahasa pertuturan yang digunakan memainkan peranan penting dalam pengukuhan sikap toleransi dan jalinan silaturahim yang seterusnya memperteguhkan ikatan perpaduan antara kaum yang menghuni negeri ini,” katanya.
Kata beliau, tema Moh Labun Loghat Perak sangat sesuai untuk diketengahkan bagi mendedahkan kepada masyarakat tentang keunikan bahasa pertuturan penduduk negeri Perak.
Beliau berkata, bahasa pertuturan atau dialek masih signifikan dalam memperkukuhkan lagi bahasa utama yang digunakan secara rasmi untuk sebarang urusan.
“Penggunaan bahasa kolokial dan bahasa dialek dalam kalangan masyarakat perlu dipertahankan agar tidak berlaku kepupusan meskipun kehidupan kita dipengaruhi oleh kemodenan dan kecanggihan teknologi,” katanya. – KOSMO! ONLINE