PETALING JAYA – Dunia hiburan tanah air kehilangan sebutir bintang apabila penyanyi Bad Indigo dikhabarkan meninggal dunia hari ini.
Berita mengejutkan tersebut dikongsikan rakan seperjuangan penyanyi itu, Liza Hanim menerusi muat naik dalam Instagram sebentar tadi.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Baru dapat berita Bad Indigo telah kembali ke rahmatullah.
“Saya akan kongsi butiran lanjut dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” kata Liza, atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abd. Halim.
Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis.
Untuk rekod, Bad mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan penyanyi Ashira pada 11 Mac 2021 selepas mereka mula rapat ketika bergelar peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).
Tetapi selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga, pasangan itu diduga dengan masalah kesihatan Bad yang menghidap diabetes sehingga perlu memotong semua jari kaki kirinya.
Jodoh tidak panjang, mereka mengesahkan sudah bercerai pada 23 Jun lalu tanpa berkongsi lanjut punca perpisahan tersebut. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE