KAJANG – Waris bekas jurugambar Kumpulan Utusan (M) Berhad, Allahyarhamah Noor Azlina Jaafar yang meninggal dunia pada 17 Oktober lalu menerima Pencen Penakat berjumlah RM2,567.50 setiap bulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Selain Pencen Penakat yang diterima setiap bulan bermula 1 November ini, waris Noor Azlina turut menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sehingga RM2,000 yang dibayar secara sekali gus.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin berkata, pengiraan Faedah Pencen Penakat dibuat berdasarkan semakan terhadap rekod caruman Perkeso arwah yang berkhidmat selama 18 tahun dan lapan bulan di tiga syarikat berbeza sejak 1996.
Menurutnya, walaupun sudah tiga tahun arwah diberhentikan kerja susulan penutupan operasi Kumpulan Utusan, warisnya masih layak menerima Pencen Penakat berjumlah RM2,567.50 setiap bulan, bermula 1 November.
“Bayaran pencen ini akan diagihkan mengikut syer kepada orang tanggungan iaitu suami arwah untuk sepanjang hayatnya dan tiga lagi anak sehingga berusia 21 tahun atau selama melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama.
“Semoga dengan faedah daripada Perkeso ini dapat menampung kelangsungan hidup suami dan anak arwah,” katanya pada sesi kunjungan Ziarah Prihatin di kediaman arwah di Taman Setia 2, Balakong di sini, hari ini.
Sementara itu, suami Noor Azlina, Muhammad Basir Abu Bakar yang juga bekas wartawan Kumpulan Utusan berkata, dia berterima kasih kepada pihak Perkeso kerana memudahkan urusan sekali gus faedah diterima dapat membantu meringankan perbelanjaan persekolahan tiga anak.
“Selepas syarikat ditutup, saya dan isteri berniaga antaranya menjual pewangi kereta, menjadi ejen jualan kek dan membuka gerai burger. Kini saya mencari pendapatan sebagai ejen sewa kereta. Saya juga menghidap masalah jantung (berkaitan injap) yang membuatkan saya jadi penat,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Noor Azlina dilaporkan meninggal di Hospital Serdang akibat jangkitan kuman pada hati.
Arwah meninggalkan tiga anak iaitu Nur Iman Zahra, 13, Nur Iman Damia, 11, Muhammad Daniel Iman, 8. – KOSMO! ONLINE